Header Ads

SUKAN : Sifat kental pemain United mula cetus bayangan juara

BERBATOV meraikan jaringannya yang berjaya melonjak United ke tangga teratas EPL buat pertama kali musim ini selepas membenam Bolton 1-0 di Stadium Reebok, kelmarin.
BOLTON: Sir Alex Ferguson tampil mengakui betapa dia gembira dengan sifat kental barisan di Manchester United selepas berjaya melonjak ke tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) buat pertama kali musim ini selepas membenam Bolton 1-0, kelmarin.

Juara Inggeris dan Eropah musim lalu itu, melakukan permulaan perlahan dalam kempen ini tetapi sejak mereka kembali daripada memenangi Piala Kelab Dunia di Jepun, skuad Ferguson sudah memenangi lima perlawanan liga secara berturut-turut.

Rentetan kemenangan itu memadamkan kelebihan tujuh mata yang dimiliki Liverpool ke atas mereka hanya sebulan lalu.
Namun, pengurus Liverpool, Rafael Benitez yang seolah-olah sudah cemburu dengan perkembangan terbaru itu berkata: "Tiada siapa menang gelaran pada Januari. Semua orang tahu hakikat itu. Kami perlu bertenang dan menganalisis keadaan. Jika mahu menang gelaran, ia adalah pada Mei nanti."
Apapun, kemenangan United di Stadium Reebok bukan hanya meletakkan mereka di atas pasukan The Reds - menjelang pertemuan pasukan itu di tempat sendiri menentang Everton, hari ini - tetapi turut menyamakan rekod Chelsea iaitu 10 perlawanan tanpa dibolosi dalam EPL.
Selepas membina reputasi dengan corak bola sepak menyerang musim lalu, ia adalah kemenangan ketujuh United dengan keputusan 1-0 dalam liga, musim ini dan Ferguson percaya ialah adalah petunjuk penting kepada mentaliti pasukannya.
"Ia bermakna tumpuan amat bagus. Anda perlu mengekalkan fokus anda dalam perlawanan dan saya rasa kami melakukannya dengan baik," kata Ferguson. "Saya berpendapat kami bermain bagus. Bolton pasukan sukar ditentang dan dalam perlawanan derby tempatan anda akan sentiasa gembira untuk menang perlawanan tetapi kami membiarkannya hingga lewat perlawanan.
"Saya tidak rasa ia sudah menjadi satu penentuan tetapi seronok dan tempat yang baik untuk diduduki (carta liga), tidak keraguan mengenainya.
"Liverpool mempunyai perlawanan menentang Everton Isnin ini (awal pagi Selasa waktu Malaysia) dan walaupun ia hanya untuk dua hari, kami boleh merenung semula tempoh yang cukup cemerlang buat kami.
"Kunjungan ke Jepun Disember lalu dan segala perlawanan sukar kami harungi baru-baru ini, pemain melakukannya dengan baik."

Walaupun United kini berdepan saingan separuh akhir Piala Liga menentang Derby County dan Piala FA bertemu Tottenham minggu ini, Ferguson menegaskan dia tiada masalah untuk mengambil rehat daripada kancah liga.
"Saingan separuh akhir bukan situasi buruk bagi kelab ini dan saya akan menurunkan ramai pemain muda Selasa ini. Kemudian kami berdepan Piala FA, Sabtu ini berdepan Tottenham. - AFP
**Sumber Disunting dari Berita Harian Online 19 Januari 2009
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Sukan/20090118234754/Article/index_html

tags : Berbatov, EPL, Manchester United, MUFC, Premier League

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.