Header Ads

SUKAN : Benitez tuduh Gerrard punca kalah



LIVERPOOL: Rafael Benitez melakukan sesuatu yang sukar dipercayai - menuding jari ke arah kapten, Steven Gerrard dan beberapa pemain senior lain sebagai antara punca yang menyaksikan Liverpool tewas buat pertama kali dalam tempoh 21 bulan di Anfield.

Awal pagi semalam, peminat The Kops dipalit kecewa selepas Aston Villa mengaut kesempatan hasil tiga kesilapan tuan rumah untuk merakamkan kemenangan 3-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) buat meranapkan rekod tanpa kalah 31 perlawanan liga di gelanggang sendiri.

Lucas menghadiahkan gol pertama Villa pada minit ke-43 apabila dia menanduk masuk ke dalam gawang sendiri tetapi Benitez lebih berang dengan Jamie Carragher membenarkan Curtis Davies memintasnya di depan untuk gol kedua hasil tandukan dari jarak dekat sebelum babak pertama tamat.

Tambah perit, dia tidak dapat menerima gelagat Gerrard yang membuka laluan kepada pelawat mendapatkan sepakan penalti gara-gara rempuhan kasar dua minit selepas Liverpool berjaya merapatkan jurang jaringan.

“Ia kesilapan pasukan untuk melepaskan gol pertama dan Gerrard juga turut melakukan kesilapan untuk menghadiahkan penalti untuk lawan.

“Adalah jelas kami harus memberikan persembahan lebih baik pada babak kedua. Terdapat ramai pemain dalam jersi Liverpool terbabit dalam kesilapan rakan mereka untuk menanduk bola ke jaring sendiri.

“Jika anda membuat analisis mengenai kesilapan anda dapat melihat banyak perkara apabila anda kalah dalam perlawanan. Anda harus melakukan perubahan. Dalam kes kami perubahan itu harus pada tahap persembahan dan ia harus menunjukkan kemajuan apabila menentang Bolton hujung minggu ini,” katanya.

Mengulas kekalahan kedua dalam tiga perlawanan pertama musim ini, Benitez dengan wajah berang berkata: “Pasukan ini harus menunjukkan peningkatan dan ia banyak bergantung kepada pemain senior menggalas tanggungjawab dan berfungsi untuk menghasilkan semula kemenangan.”

Sementara itu, pengurus Villa, Martin O’Neill berkata: “Saya gembira di atas persembahan ini. Kami berusaha gigih bukan hanya menggunakan tenaga tetapi kemahiran dan kemampuan untuk meraih mata penuh kali ini. - Agensi

*** Disunting dari Berita Harian Online 26 OGOS 2009

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.