Header Ads

SUKAN : Giggs Pemain Terbaik

GIGGS (kanan) dan Young masing-masing menerima trofi selepas diumumkan sebagai Pemain Terbaik PFA dan Pemain Muda Terbaik PFA pada satu majlis di London kelmarin

LONDON - Ryan Giggs dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Tahunan Persatuan Pemain Profesional (PFA) England awal pagi semalam meskipun dia hanya beraksi 12 kali dalam kesebelasan utama Manchester United musim ini.
Pemain tengah berusia 35 tahun yang berasal dari Wales itu berjaya menewaskan lima calon lain termasuk empat rakan sepasukannya, Cristiano Ronaldo, Nemanja Vidic, Edwin van der Sar dan Rio Ferdinand serta kapten Liverpool, Steven Gerrard.

"Saya pernah menang dua kali anugerah Pemain Muda Terbaik tetapi anugerah kali ini betul-betul kejayaan besar buat saya.

"Ia merupakan anugerah peribadi terbaik yang kamu boleh dapat kerana ia merupakan undian dari rakan-rakan pemain sendiri," katanya.

Menurut Giggs, saingan musim ini begitu menarik di mana selepas berakhir satu perlawanan besar, mereka perlu menempuh satu lagi perlawanan besar secara berterusan.
"Itulah yang berlaku dengan United. Ucapan terima kasih pastinya kepada Alex Ferguson yang banyak mempengaruhi karier bola sepak saya.

"Pertama kali bertemu dengannya adalah ketika saya berusia 13 tahun dan hubungan kami sentiasa baik sehingga ke hari ini," ujarnya.

Sementara itu, pemain England yang beraksi untuk Aston Villa, Ashley Young dipilih sebagai pemenang anugerah Pemain Muda Terbaik Tahunan.

Bagi pilihan kesebelasan utama Liga Perdana England untuk tahun ini, seramai enam pemain United berada dalam senarai tersebut iaitu Giggs, Ronaldo, Vidic, van der Sar, Ferdinand dan Patrice Evra.

Namun penyerang United, Wayne Rooney tidak berada dalam senarai itu selepas diketepikan penyerang Chelsea, Nicolas Anelka dan penyerang Liverpool, Fernando Torres. - Agensi

PILIHAN LIGA PERDANA ENGLAND

PENJAGA GOL: Edwin Van der Sar (United)

PERTAHANAN: Glen Johnson (Portsmouth), Rio Ferdinand (United), Nemanja Vidic (United), Patrice Evra (United)

TENGAH: Ashley Young (Aston Villa), Steven Gerrard (Liverpool), Ryan Giggs (United), Cristiano Ronaldo (United)

PENYERANG: Nicolas Anelka (Chelsea), Fernando Torres (Liverpool)
** Sumber disunting dari KOSMO Online 28 April 2009
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0428&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_07.htm

tags : Cristiano Ronaldo, Fernando Torres (Liverpool)Ashley Young (Aston Villa), Nicolas Anelka (Chelsea), Ryan Giggs (United), Steven Gerrard (Liverpool)

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.