Header Ads

Manchester United juara EPL

RONALDO (tengah) bersama rakan sepasukan meraikan kejayaan menjuarai Liga Perdana Inggeris, malam tadi.

Samai rekod musuh tradisi, Liverpool kumpul 18 mahkota liga

LONDON: Manchester United memenangi kejuaraan bola sepak Liga Perdana Inggeris 2008-09 berbekalkan keputusan seri 0-0 menentang Arsenal di Old Trafford, semalam.

United kini mempunyai 87 mata dengan baki satu perlawanan manakala kelab tangga kedua, Liverpool, yang turun menentang West Bromwich Albion hari ini mempunyai 80 mata.
Ia adalah kejuaraan liga ketiga berturut-turut buat United dan satu mata dalam perlawanan kedua terakhir kempen itu sudah mencukupi untuk meletakkan Red Devils di luar jangkauan Liverpool serta memastikan mereka menyamai rekod musuh ketat itu dengan sejumlah 18 mahkota liga.

“Ia tempoh 90 minit paling panjang dalam sejarah tetapi kami sudah berjaya mencapainya,” kata pengurus berusia 67 tahun itu selepas persembahan agak gemuruh pasukannya, “Tiada sebarang percubaan berbahaya yang menunjukkan betapa berhati-hatinya perlawanan itu.”.

Ditanya apakah maknanya untuk menyamai rekod Liverpool, Ferguson berkata; “Ia akan menjadi lebih bermakna jika kami mendapatkannya di hadapan mereka. Kami mahu berkembang dengan pasukan ini, yang berkemampuan melakukannya.”

Namun, ia adalah persembahan hambar oleh United tetapi keraian bermula sebaik wisel penamat yang memastikan kejuaraan dan meletakkan mereka bersama Liverpool sebagai kelab England paling banyak memenangi trofi.

Arsenal, yang akan menduduki tempat keempat, banyak menguasai bola tanpa mencipta terlalu banyak peluang terbuka tatkala jentera serangan United hanya sesekali mengancam gawang pelawat.



Ferguson kini sudah mempunyai 25 trofi utama sejak tiba di kelab itu pada 1986 dan berharap untuk menjadikannya 26 apabila United berdepan Barcelona dalam final Liga Juara-Juara pada di Rome, pada 27 Mei ini.

Berbekal gol daripada Cristiano Ronaldo dan persembahan berkualiti dari penyerang Wayne Rooney dan Carlos Tevez, United juga mempunyai pertahanan kental yang menyumbang kepada penjaga gol Edwin van der Sar mencatatkan rekod British dengan melalui 1,311 minit tanpa melepaskan gol.

Ia seketika tampak goyah April lalu, apabila mereka kalah 4-1 di tempat sendiri kepada Liverpool dan kemudian 2-0 di tangan Fulham sebelum kembali memulakan rentetan kemenangan tanpa kalah yang menjarakkan mereka mengatasi Liverpool. - Agensi

** Sumber Disunting dari Berita Harian Online 17 MEI 2009
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Sukan/20090517065721/Article/

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.