Header Ads

Sindiran Wenger tentang Old Trafford

'Pemain United laku 20 kekasaran tetapi tidak dilayang kad kuning'

MANCHESTER: Arsene Wenger masih termangu-mangu sama ada ingin ketawa atau mahu meratapi kekalahan pasukannya, Arsenal 2-1 di Manchester United.

Minggu penuh dramatik Arsenal berakhir dalam suasana haru-biru di Old Trafford kelmarin dengan Wenger diarahkan meninggalkan bangku simpanan oleh pengadil Mike Dean kerana menendang botol akibat terlalu kecewa selepas jaringan Robin van Persie pada saat genting dibatalkan kerana rakan sepasukannya, William Gallas sudah ofsaid.

Sebelum itu, Dean menafikan penalti untuk Arsenal selepas Andrei Arshavin dibentes keras oleh Darren Fletcher; menghadiahkan penalti kontroversi terhadap Wayne Rooney selepas penjaga gol Arsenal, Manuel Almunia, kelihatan menerpa kakinya.

Malah, Emmanuel Eboue yang dibentes sebaliknya dilayangkan kad kuning kerana didakwa sengaja menjatuhkan diri.

Selang beberapa hari selepas Eduardo didakwa oleh UEFA kerana sengaja menjatuhkan badan untuk meraih penalti dalam saingan Liga Juara-Juara sewaktu menentang Celtic, terlalu banyak rentetan luar biasa Arsenal sebelum kemuncaknya mereka tewas kepada United akibat jaringan sendiri, Abou Diaby.

“Saya menendang botol air apabila gol itu dibatalkan. Kecewa sangat,” jelas Wenger. “Pegawai keempat memanggil pengadil dan mengusir saya. Saya hilang kata-kata, masa hanya tinggal 30 saat dan jaringan itu pastinya suatu yang paling menakjubkan.”

Malah, Wenger turut acuh tidak acuh menjawab soalan mengenai penalti untuk Rooney pada separuh masa bagi membolehkan penyerang England itu menjaringkan gol penyamaan United.

“Itulah di Old Trafford,” sindir Wenger sambil berkata, Arshavin seharusnya diberikan penalti pada separuh masa pertama. “Pernah saya lihat sebelum ini, pemain United melakukan 20 kekasaran tetapi tidak dilayangkan kad kuning. Memang takjub.” - AFP

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.