Header Ads

Penzina rosakkan generasi patut kena hukuman

Oleh Lokman Ismail

Perkahwinan cara terbaik penuhi fitrah manusia, atasi masalah sosial masyarakat
ALLAH menciptakan manusia berpasangan, lelaki dan perempuan yang saling memerlukan bagi melengkapkan kehidupan sosial serta seksual. Firman Allah bermaksud: "Dan di antara tanda kebesaran Allah ialah Dia telah menciptakan untukmu isteri dari jenis kamu, supaya kamu cenderung dan tenteram kepadanya dan dijadikan antara kamu rasa kasih sayang." (Surah ar-Rum: 21)

Islam menetapkan cara terbaik baik bagi lelaki dan perempuan memenuhi keperluan hidup mengikut keinginan mereka. Hubungan itu perlu dilangsungkan mengikut peraturan dan dibenarkan. Pematuhan peraturan itu mempunyai banyak hikmah dan membezakan antara kehidupan manusia berbanding haiwan. Allah mencipta manusia sebaik-baik kejadian dan perlu diterjemahkan melalui cara hidup

Islam menetapkan perkahwinan adalah hubungan halal bagi lelaki dan perempuan memenuhi keperluan hidup berpasangan. Undang-undang atau peraturan berkaitan perkahwinan dan kekeluargaan adalah yang tertua bagi manusia. Ramai yang memilih jalan salah dalam memenuhi tuntutan seks. Ada pasangan yang tidak mempunyai ikatan halal, bukan suami isteri, melakukan hubungan seks tanpa rasa bersalah atau berdosa.
Perbuatan menyamai sikap haiwan itu bukan setakat membabitkan golongan bawahan, bahkan individu berkedudukan dan terkenal. Mereka terpengaruh dengan cara hidup Barat yang bangga memperkenalkan pasangan bersekedudukan dan menjadikan bahan seks untuk meraih populariti.

Perbuatan zina diharamkan kerana keji dan melanggar ketetapan agama. Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina kerana sesungguhnya zina itu adalah perbuatan yang keji dan jalan yang buruk.” (Surah al-Israk: 32) Biarpun zina dilakukan dengan rela, ia adalah jenayah. Hukuman terhadap penzina perlu dilaksanakan seperti kesalahan membunuh, mencuri dan merogol sebagai pengajaran kepada semua terutama mereka mempunyai keinginan melakukannya.

Golongan yang menjadikan seks perkara mudah berpunca lemahnya iman dan takwa. Mereka mudah dipengaruhi syaitan yang bijak memperdaya manusia melakukan kejahatan membabitkan nafsu seks. Pergaulan bebas, ditambah pengaruh dadah, arak dan bahan lucah mendorong seseorang melakukan zina. Justeru, Islam menggariskan batasan hubungan lelaki dan perempuan supaya tidak mudah diperdaya syaitan. Lelaki dan perempuan tanpa ikatan perkahwinan tidak dibenarkan berada berdua-dua di tempat terlindung daripada pandangan orang ramai. Rasulullah SAW mengingatkan perkara itu melalui sabda bermaksud: “Jangan sekali seorang lelaki bersama perempuan yang tidak halal baginya kerana yang ketiganya adalah syaitan kecuali kalau ada mahramnya.” (Hadis riwayat Ahmad)

Ideologi Barat mengatakan hal berkaitan seks perlu ditentukan individu tanpa sekatan dan kongkongan adat atau agama tidak boleh diterima. Hakikatnya, apa yang didakwa itu adalah penyimpangan keperluan manusia sendiri. Golongan melakukan seks bebas mendakwa hubungan seks hak mutlak seseorang seperti hak asasi lain. Maka kebebasan itu tidak boleh dihalang sesiapa termasuk ibu bapa terhadap anak gadisnya. Amalan itu difikirkan dapat mengatasi masalah sekatan seks yang didakwa punca berlaku rogol. Namun, hakikatnya masalah itu tidak dapat diselesaikan. Di Barat kes rogol dan penderaan seks tetap berleluasa. Nilai moral dan batasan kemanusiaan tidak lagi menjadi penting di Barat.

Jalan terbaik menyelesaikan hal berkaitan seks ialah melalui cara ditetapkan syariat iaitu perkahwinan. Institusi perkahwinan bukan saja membolehkan lelaki dan perempuan menjalani hubungan seks secara halal, tetapi banyak rahsia kebaikan di sebaliknya.
Institusi perkahwinan membentuk hubungan lebih kukuh, ikhlas dan mewujudkan perasaan saling memerlukan antara lelaki dan perempuan. Berlainan hubungan zina, semata-mata bertujuan kepuasan nafsu. Dalam institusi perkahwinan, hubungan lelaki dan perempuan bukan sekadar memenuhi keperluan seks, tetapi berkongsi semuanya. Kesetiaan, pengorbanan, saling menghormati, memerlukan, kasih sayang, keyakinan dan kepercayaan dalam hu bungan suami isteri membentuk institusi kekeluargaan yang kukuh. Melalui perkahwinan kelahiran anak amat diharapkan. Islam menggalakkan perkahwinan bertujuan melahirkan zuriat. Walaupun zina juga melahirkan zuriat, tetapi bukan matlamatnya. Penzina sedaya upaya mengelak daripada perkara itu, lebih-lebih lagi perempuan.

Mengandung dan melahirkan anak zina menyebabkan banyak keburukan. Cara menutup aib ialah pengguguran janin dan jika tidak berjaya atau tidak sanggup menggugurkan, maka lahirlah anak zina. Untuk menutup malu dan tidak mahu menghadapi pelbagai masalah berkaitan kelahiran anak, maka dilakukan jalan mudah dengan membuang bayi. Perbuatan itu menunjukkan kesan buruk zina. Jelas ia turut mendatangkan masalah kepada orang lain. Untuk mengelak zina, dinasihatkan kepada mereka yang cenderung melakukan hubungan seks dan mampu berkahwin, maka bersegeralah berkahwin.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Wahai pemuda, barang siapa antara kamu sudah mampu berkahwin, maka kahwinlah, kerana sesungguhnya perkahwinan itu menutup pandangan dan menjaga kehormatan. Dan barang siapa belum mampu, maka hendaklah dia berpuasa, kerana puasa itu mengurangi nafsu syahwat.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

**Sumber Disunting dari Berita Harian Online
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Agama/20090114073606/Article/index_html

tags : agama, Iman, Islam, Manusia, Seks, Zina

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.