Header Ads

SUKAN : Trofi EPL akan kekal di Old Trafford


LONDON - Manchester United tidak akan melepaskan trofi Liga Perdana England (EPL) begitu sahaja.

Ia akan tetap kekal di Old Trafford.

Demikian tegas penyerang United, Wayne Rooney selepas mereka bangkit mengalahkan Tottenham Hotspur 5-2 kelmarin.

Walaupun ketinggalan 0-2 pada separuh masa pertama, juara bertahan itu mempamer kebangkitan luar biasa dengan meledakkan lima gol pada babak kedua, sekali gus merampas semula takhta liga daripada Liverpool yang menang 3-1 ke atas Hull City sebelum itu.

Dengan kelebihan tiga mata ke atas pencabar mereka itu, serta memiliki kelebihan baki satu perlawanan, Rooney mengakui Red Devils akan sekali lagi menjulang gelaran itu musim ini.

"Kami tahu kami dalam keadaan terbaik ketika ini. Kami perlu menggunakan kelebihan baki perlawanan ini. Ada lima lagi baki perlawanan dan terpulang kepada kami untuk melakukannya," kata Rooney.

"Kemenangan ke atas Spurs hari ini (kelmarin) sangat penting bagi kami kerana ia memberi keyakinan dan kepercayaan baru menjelang aksi seterusnya.

"Ia juga satu kebangkitan yang menakjubkan. Pada babak pertama permainan kami agak hambar dan kami terpaksa mengubah tempo permainan. Kami tahu sebaik saja kami memperoleh gol pertama, kami ada peluang untuk menang dan itulah yang melegakan."

Spurs mendahului 2-0 pada babak pertama menerusi jaringan Darren Bent dan Luka Modric.

Namun United bangkit pada babak kedua menerusi dua jaringan Cristiano Ronaldo dan Rooney sebelum Dimitar Berbatov menambah gol kelima ke atas bekas kelabnya itu.

Ronaldo pula berkata United sudah semestinya mampu memenangi pertemuan ini walaupun tanpa dihadiahkan sepakan penalti yang dipertikaikan pemain Spurs.

"Pengurus memberitahu pada masa rehat bahawa kalau kami menjaringkan satu gol, maka kami akan dapat tiga atau empat gol lagi dan itulah apa yang terjadi," kata bintang Portugal itu. - AFP

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.