Header Ads

HIBURAN : Pencarian Sam-Remy


SANTUN dan selamba dalam nakal jiwa sang pria, dua lelaki muda yang galak mengukir nama, Remy Ishak dan Sam Shaheizy berdialog tanpa dipinta.

Seperti drama sebabak di petang, setiap bidikan lensa oleh jurufoto Wahidah Zainal diserlahkan mereka dengan emosi. Sempat lagi bertanya, mood raya bagaimana yang hendak diluahkan?

Bergaya segak dalam persalinan baju Melayu cekak musang, masing-masing mahukan kelainan. Tidak perlu bersamping atau bersongkok, cukuplah berselempang sebagai pelengkap. Biar nampak nakal, kata mereka.

Meniru gaya keterujaan anak gadis bertemu hero Nur Kasih, tidak semena-mena Sam menjerit nakal, 'Remy Ishak, I love you!' Berbalas lontaran, 'Adnan Sempit RM7.8 juta!' oleh Remy dan seketika kemudian tawa pecah berderai.

Mereka bertepuk tampar, berjenaka malah sanggup bersuap lemang untuk mencantikkan fotografi.

Itulah gelagat Remy dan Sam sepanjang fotografi selama lebih tiga jam berlatarkan 'rumah kampung' di kediaman Pak Engku, pemilik Kuzie Catering di Shah Alam, Selangor.

Aktor daripada dua latar keluarga berbeza itu saling berkongsi nostalgik, berbicara tentang cabaran, godaan dan cita-cita serta jolokan ramai, merekalah hero masa depan!

Misi Remy Ishak
Tanpa secuit latar seni dan hanya berbekal tekad untuk misi mencari sesuap nasi sebagai pelakon, Remy Ishak tersenarai di carta hadapan barisan aktor Malaysia ketika ini.

Tidak seperti Sam Shaheizy yang sudah biasa dengan kamera dan penggambaran sejak di bangku sekolah, bukan juga daripada keturunan orang berada, jejaka kelahiran Negeri Sembilan itu miliki sejarah panjang yang jika dikenang pasti ada hati yang bisa terusik.

Lima tahun dalam industri. Bermula dengan merangkak dan bertatih, kini larian kencang beriringan limpahan populariti dan tawaran tidak putus mengalir masuk ke diari hidupnya.

"Jika itulah (gelaran hero Malaya) yang difikirkan ramai. Saya anggap ia sebagai penghormatan. Saya cuma komited dengan kerja yang sepatutnya saya selesaikan," serius nada yang keluar daripada ulas bibirnya.

Hidup bergelumang populariti, makanan seharian berulamkan kontroversi. Bernama Remy Ishak, mandi bersiramkan sensasi, sudah menjadi adat buatnya.

Pernah situasinya tersekat dengan kisah pertelingkahan dan soal hati, hingga terbit nama Ummi Nazeera dan Maya Karin, dua wanita yang mengingatkan ramai tentang Remy.

Tidak menyentuh isu itu secara langsung, hatinya diterpa persoalan godaan. Pernahkah hati kecilnya terusik oleh godaan duniawi yang cuba menghasut?

"Saya tidak terfikir tentang perkara negatif, rasanya cubaan yang dimaksudkan itu tidak pernah wujud. Masa untuk saya bersosial sangat terhad.

"Benda-benda negatif itu tidak datang kerana masa saya banyak dihabiskan di tempat kerja," getusnya meloloskan rasa.

Kini, pencarian dan misi Remy sebagai anak seni tidak hanya menelan suapan yang diberikan.

Terus-terang ujar pemegang watak Arjuna itu, cabaran yang sedang dihadapinya adalah mencari naskhah dan watak yang mampu membuahkan 'makna'.

"Dalam industri lakonan, yang payahnya ialah untuk menjaga hati banyak pihak.

"Itu juga cabaran saya ketika ini," katanya yang pernah beraya pada 'zaman darurat' sekitar tahun 2006.

Bernostalgik dengan kisah hari raya, di ingatan Remy, situasi hanya membeli sebalang biskut almond london untuk dibawa pulang sebagai ole-ole buat ibu menjadi kenangan yang tidak boleh dilupakan.

"Itu ketika zaman suam-suam kuku sebagai pelakon, raya saya langsung tanpa persiapan. Hanya sebalang biskut raya yang mampu saya beli," katanya.
Sam lagak selamba
Sam Shaheizy - nama ini sedang meniti era kepanasan masa kini.

Lebih enak lagi termometer itu naik bukan kerana gosip yang menerpa dirinya atau cerita dia dengan gadis itu atau gadis ini.

Tidak secuit pun lagi dia dipanaskan dek cerita seorang gadis. Ramai yang mahu dia kekal sebegitu.

Sam, si pemilik wajah selamba itu mencipta nama dengan bakat dan kredibiliti yang semakin diserlahkan dirinya.

Dia semakin dipuja lantaran keelokan paras rupa dan jiwa lakonnya.

Dia juga dilihat sebagai pelapis hero Malaya yang muncul dengan portfolio dan sentuhan tersendiri.

"Satu tekanan sebenarnya apabila dilihat sebagai hero Malaya. Bagi saya apa yang penting adalah kepuasan penonton.

"Saya tidak terdesak untuk membawa watak hero, cuma saya mahu bereksperimen dengan karakter sebegitu.

"Jujurnya juga untuk membuang 'Adnan Sempit' daripada diri saya itu agak sukar," ujarnya yang mendapat simbahan populariti lantaran watak dalam filem yang berjaya menghasilkan kutipan hampir RM8 juta tersebut.

Sebagai seorang jejaka yang lahir daripada keluarga seni, adik kepada pelakon Zizie Ezette itu mahu mencipta nama atas bakatnya sendiri.

Lebih tepat lagi, dia mahu diingati kerana aliran seni yang mengalir dan dibentuk dirinya.

Dia bermula dengan penampilan perdana dalam telefilem Pa'e pada tahun 1998 dan kemudian secara senyap-senyap memperkukuhkan dirinya sebagai pelakon.

"Saya sebenarnya seorang yang sensitif apabila orang bercakap tentang kerja saya.

"Bukan, saya bukan tidak dapat menerima kritikan tetapi saya sensitif tentang kerja," luahnya dalam damai dan lucu dalam sesi fotografi pada petang itu.

Gemar melihat perilaku dan gelagat khalayak, itu yang disimpan dan ditinjaunya untuk menunjukkan lakonan semula jadi.

"Saya kutip karakter orang untuk bahan rujukan saya," katanya.

Luahnya lagi, dalam hati kecilnya masih terasa dirinya kurang konsisten dalam arena lakonan.

Cuma ramai yang memberi respons bahawa Adnan Sempit merupakan karya terbaiknya dan itu dijadikan azimat untuk bergerak lebih cemerlang pada masa hadapan.

"Yang penting bagi saya untuk sebuah karya adalah skrip. Apabila skrip tidak kuat, maka semua akan jadi hambar.

"Namun, kebergantungan terhadap semua perkara juga merupakan kekuatan karya sama ada filem, drama atau telefilem.

"Ia seperti sebuah rantaian simbiosis dan kejayaan," luah Sam yang terlibat dengan filem Aku Bukan Tomboi dan Nafas 354 untuk tahun ini.

Bagi Sam, masih panjang lagi masa yang diperlukan untuk dia berdiri tegap sebagai hero Malaya.

Namun, buat peminat yang mempunyai keterujaan tegar terhadapnya, jejaka 27 tahun itu sudah mempunyai pakej dan kesungguhan yang jitu untuk sampai ke aras itu.

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.