Header Ads

HIBURAN : Afdlin buat filem bukan untuk kaya

Ini kisah seorang lelaki genius. Cerita lelaki bernama Afdlin Shauki Akhsan yang pada usia 38 tahun, telah memenuhkan kehidupannya dengan makna-makna terbaik seperti moto hidupnya - Hidup biar ada makna. Live a meaningful life.

Lelaki ini mengklasifikasikan dirinya sebagai bukan pelaris majalah kerana fizikal yang besar. Namun, satu hal yang tidak disedarinya, dia telah menumpahkan karya-karya luar biasa yang selalu menggeletek hati dengan nuansa komedi dan kasih sayang yang tinggi. Setiap sentuhannya mempunyai magis tersendiri.

Meletakkan situasi kehidupan tanpa terikat dengan jalan klise sesebuah naskhah, siapa yang boleh lupakan buah tangan Afdlin seperti filem Buli, Baik Punya Cilok mahupun Sumo Lah dan terbaru Papadom - cinta yang menebal terhadap lapangan seni ini menjadi faktor utama dia berkarya.

Malam selepas Afdlin dijulang sebagai Pelakon Lelaki Terbaik dan Cerita Asal Terbaik manakala Papadom terbitan Tayangan Unggul diangkat sebagai Filem Terbaik pada majlis Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22), kami bercerita panjang tentang cintanya terhadap industri, kekayaan yang diperoleh, kelekaan membina keluarga sempurna dan masa depannya.

Sekadar catatan, seni dengan Afdlin sudah tumbuh sejak kecil lagi. Namun waktu itu, kecenderungannya lebih kepada penghasilan karya di atas kertas melalui kepakarannya sebagai seorang arkitek.

Mendapat Diploma Arkitektur dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), anak kelahiran Johor Bahru ini kemudian berkhidmat sebagai pereka di TR Hamzah and Yeang Architectural sekitar awal 1990-an.

Sedar bahawa dirinya lebih cenderung untuk terbabit sebagai karyawan, Afdlin mengikuti kursus Pengurusan Produksi dan Penulisan Skrip di National Film London sebelum tumbuh menjadi karyawan seni yang versatil dan disegani.

Pelbagai anugerah sudah diraihnya. Muncul sebagai penulis lirik dan penyanyi, (dinobatkan dalam Anugerah Juara Lagu ke-19 menerusi kategori Etnik Kreatif, lagu Erti Hidup nyanyian Dayang Nurfaizah), Afdlin juga cukup terkenal sebagai pengacara.

Malah melalui lapangan tersebut, dia diiktiraf sebagai Penyampai Televisyen Terbaik pada Anugerah Televisyen Asia 1999 (melalui Bila Larut Malam) sebelum bakatnya tidak pernah tercicir diiktiraf dalam festival filem berprestij dan dijulang sebagai yang terbaik dalam beberapa kategori termasuk Aktor Terbaik dan Pengarah Harapan.



Pendek kata, anugerah dengan Afdlin bukan sesuatu yang asing. Afdlin senyum. Dia tidak tahu memberi respons yang berlebihan terhadap pujian yang melimpah-ruah kepadanya. Bagi Afdlin, apa yang dikerjakannya sekarang semuanya kerana cinta.

"Saya tidak kejar anugerah. Saya berkarya kerana ini cinta saya. Saya rasa, saya tidak pernah sekali pun gagal berfikir tentang filem. Setiap masa rasanya, saya habiskan dengan menonton filem.

"Kerana kecenderungan ini, saya fikir ia telah membakar semangat saya untuk membuat filem. Jujurnya, saya tak buat filem untuk kaya.

"Saya langsung tak fikir daripada perspektif keuntungan atau duit, tetapi saya buat filem dengan cara saya sebab saya nak orang tengok filem saya," luah Afdlin yang sentiasa berusaha memberi idea-idea segar dalam naskhahnya.

Kecanduannya membikin filem mampu memuaskan hatinya. Namun, dari sudut berbeza, suami kepada Maria Abdullah (Christina Low) dan bapa Mia Sara serta Anaif ini memberitahu dia kekurangan dua perkara penting dalam aspek kehidupan - kewangan yang stabil dan masa emas bersama keluarga.

Sanggup mati

"Saya pernah cakap pada isteri saya, kita akan lambat kaya dengan pekerjaan saya sekarang.

"Sebab saya tak buat filem kerana duit, tapi saya buat filem kerana saya nak buat dan mahu berkongsi dengan orang ramai. Mujur isteri memahami dan selalu menjadi penyokong setia saya.

"Tapi saya tak nafikan, ada anak seni yang mampu jadi kaya-raya dalam bidang ini.

"Namun, ramai yang kais pagi makan pagi. Saya? Alhamdulillah, cukuplah untuk menyara keluarga. Tapi memang belum tahap jadi kaya-raya," katanya sambil ketawa.

Sementara pada isu kekurangan masa emas bersama keluarga, beritahu Afdlin, hal itu terjadi sejak tiga tahun lalu sewaktu jiwanya bersemarak untuk membikin filem. Sebab itu Papadom wujud.

"Kerana terlalu fokus pada kerjaya, saya tak sedar anak sulung saya, sudah berusia 10 tahun. Jujur, saya sangat kurang meluangkan masa dengan keluarga kerana sibuk bekerja.

"Saya terlepas melihat anak saya membesar dan saya kerugian banyak masa emas bersama keluarga kerana keluar bekerja. Satu hari, bila saya tersedar tentang hal itu, memikirkan apa yang akan terjadi pada saya jika isteri saya tiada kelak.

"Itulah punca wujudnya filem Papadom - filem tentang bapa-bapa yang sibuk mencari rezeki dan menyerahkan tanggungjawab terhadap isteri kemudian terpaksa memikul semua tanggungjawab selepas ketiadaan isteri," katanya.

Bagaimanapun kata Afdlin, dia tidak pernah menyesal dengan situasi yang berlaku. Kerana kata penggemar band British, Jamiraquoi ini dia berusaha untuk memberi kehidupan yang baik terhadap keluarganya.



Bagaimanapun, satu hal yang tidak boleh dipinggirkan juga adalah dia perlu tidak terlepas pandang terhadap anak-anaknya.

Ditanya adakah dia sanggup berhenti menjadi pembikin filem dan menjadi suri rumah tangga jika apa yang digambarkan dalam Papadom benar-benar berlaku, pantas Afdlin memberi jawapan.

Katanya: "Saya gila kalau tidak melakukan pengorbanan untuk anak-anak saya. Saya sanggup mati untuk orang yang saya sayang."

Jalan Lama seperti Lord Of The Ring

Sudah mempunyai label sebagai pelakon dan pengarah komedi, Afdlin akhirnya bertukar jalur. Kali ini, kata Afdlin yang turut terbabit sebagai 'pelakon halusinasi' dia sudah bersedia untuk terbit dengan naskhah epik yang diberi judul Jalan Lama.


Memberi imaginasi filem yang bakal diterajui Que Haidar dan Hans Isaac ini mempunyai idea seperti siri Lord Of The Ring, penghasilan naskhah tentang dua beradik penuh muslihat ini bertujuan untuk mencabar dirinya sendiri.

"Sebenarnya saya seorang penggemar filem epik. Namun, saya memulakan langkah sebagai pengarah komedi.

"Tapi kali ini saya sudah bersedia untuk mencabar diri sendiri untuk mengarahkan sebuah filem epik kerana sebagai seorang pengarah, kita yang membina sesebuah jalan cerita atau karakter dan kita pasti boleh lakukannya," katanya yang optimis dan menolak persepsi seorang pengarah komedi tidak layak membikin karya epik.


BARISAN penggerak Papadom. Dari kiri: Farid Kamil, Afdlin, Liyana Jasmay dan Que Haidar. Mereka mengharapkan kemenangan di FFM22 mampu membawa penonton ke panggung apabila filem ini ditayangkan kelak.

Ditanya sampai kapan dia akan terus melibatkan dirinya sendiri dalam filem arahannya, beritahu Afdlin, sebenarnya dia sendiri sudah mula jatuh cinta sebagai seorang pengarah berbanding pelakon.

"Sekarang ini pun saya sudah mula memilih karakter lakonan saya. Saya tahu tak semua cerita yang boleh melibatkan saya. Kalau anda perasan, tak ada orang yang berani panggil saya berlakon kecuali Kabir Bhatia. Satu-satunya filem arahan saya yang tidak menampilkan saya ialah Mat Spy," beritahu Afdlin lagi.

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.