Header Ads

SUKAN : 'Jangan terlalu yakin'


WENGER memberi arahan kepada anak-anak buahnya pada sesi latihan semalam

LONDON - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger tidak mahu anak- anak buahnya tampil terlalu yakin apabila melayan kunjungan Celtic pada perlawanan kedua playoff Liga Juara-Juara di Emirates awal pagi esok.

Arsenal dilihat sudah berada sebelah kaki untuk melayakkan diri ke saingan peringkat kumpulan selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Celtic di Park- head minggu lalu.

Aksi hebat The Gunners di Scotland itu bermakna mereka tidak perlu bersusah payah untuk menang pada perlawanan kedua ini.

Keputusan seri atau tewas dengan defisit satu gol sudah cukup untuk memastikan skuad The Gunners itu ke saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara musim ini.

Namun, tatkala Wenger gembira dengan kedudukan tersebut, pengurus Arsenal itu tetap percaya Celtic tidak akan terus mengalah tanpa memberi tentangan.

"Kedudukan ini masih belum selamat, kami sedar tentang itu. Kami berpengalaman menghadapi perlawanan yang cukup genting.

"Kami tahu tugas ini perlu diselesaikan tetapi kami tetap pada kedudukan yang agak selesa. Keputusan akhir hanya dapat ditentukan berdasarkan cara kami bermain pada perlawanan kedua ini nanti," kata Wenger.

Kemenangan selesa ke atas Everton dan Portsmouth dalam saingan Liga Perdana England sebelum ini telah membuktikan kualiti yang dimiliki Arsenal dan pastinya satu kekecewaan besar andai Celtic berjaya memadam defisit dua gol milik mereka. - AFP

*** Disunting dari Kosmo Online 24 OGOS 2009

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.