Header Ads

SUKAN : The Reds hilang sengat



LONDON – Liverpool hilang sengat.

Rentak sumbang terus mengiringi pasukan gergasi Inggeris itu ketika Liga Perdana England musim 2009/10 masih berada pada awal persaingan.

Reputasi pasukan itu selaku kelab elit gagal diterjemahkan dengan baik.

Aksi di gelanggang sendiri ternyata bukan kelebihan kepada mereka, seperti juga yang berlaku pada musim lalu.

Dua kekalahan Liverpool dalam tiga aksi awal memang mengecewakan pengurus The Reds, Rafael Benitez.

Semalam, mereka diperbudakkan oleh Aston Villa apabila tewas 1-3 pada aksi yang berlangsung di Anfield.

Kekalahan itu mengundang kekecewaan dan Benitez secara terbuka membidas prestasi hambar anak-anak buahnya, sekali gus menyukarkan peluang Liverpool memburu kejuaraan liga musim ini.

Untuk rekod, Liverpool hanya tewas dua kali ketika mereka muncul naib juara liga musim lalu.

“Lucas telah menjaringkan gol sendiri dan (Steven) Gerrard pula memberikan penalti kepada lawan. Jadi setiap pemain perlu membuat analisis terhadap banyak perkara.

“Saya keluarkan Lucas bukan kerana dia beraksi teruk berbanding pemain lain. Saya hanya mahu mengubah keadaan dengan membawa masuk pemain penyerang.

“Kami melakukan banyak kesilapan dan pemain senior pula tidak menggunakan pengalaman yang ada pada mereka,” kata Benitez.

Selepas Lucas tertanduk masuk bola ke gawang sendiri pada minit ke-34, Curtis Davies menambah derita tuan rumah apabila menjaringkan gol kedua Villa pada penghujung babak pertama hasil daripada sepakan sudut.

Penyerang Liverpool, Fernando Torres berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-72 tetapi dua minit kemudian, Gerrard telah menjatuhkan Nigel Reo-Coker dalam kotak penalti.

Ashley Young menyudahkan sepakan penalti itu untuk gol ketiga Villa.

“Kami telah pun tewas dan kami perlu mempertingkatkan prestasi selepas ini,” tegas Benitez. – Agensi

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.